Cari Di Blog


Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa Yang Akan Memasuki Syurga Allah SWT oleh Ficky Aditia


Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa Yang Akan Memasuki Syurga Allah SWT
oleh Abu Basyer pada 29 Maret 2012 pukul 22:47 ·
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,

(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri , mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”

(Surah Ali Imran ayat 133-135)

Dalam ayat diatas, Allah SWT memotivasi umat Islam agar bersegera meraih impian yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka iaitu syurga tempat kesenangan yang diharapkan. Tempat yang dipenuhi dengan segala keindahan. Motivasi agar bersegera menuju syurga Allah SWT berikan agar umat Islam tidak lalai dan leka.

Dalam ayat di atas juga Allah SWT telah menyatakan bahawa Dia telah menyediakan syurga yang luas iatu seluas langit dan bumi kepada orang-orang yang bertakwa . Apakah ciri-ciri orang yang bertakwa?

Ciri-ciri orang bertakwa adalah seperti berikut :

Pertama : Orang yang menafkahkan hartanya (suka bersedekah) samaada ketika susah atau senang.

Kedua : Orang-orang yang mampu menahan perasaan marahnya.

Ketiga : Orang-orang suka memaafkan kesalahan orang lain.

Keempat : Orang yang sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT apabila melakukan kesalahan dan dosa.

Huraiannya :

Pertama : Orang yang menafkahkan hartanya (suka bersedekah) samaada ketika susah atau senang.

Salah satu amalan yang terbaik bagi setiap orang Mukmin adalah bersedekah. Bersedekah dapat membersihkan hati daripada sifat kikir dan bakhil. Sedangkan bakhil adalah satu sifat yang dicela oleh Allah SWT. Bersedekah bukan hanya terletak pada pemberian berbentuk wang ringgit sahaja tetapi semua kebaikan dan amal soleh adalah dikira juga sebagai sedekah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :”Tiap anggota badan dari manusia wajib atasnya melakukan sedekah tiap hari apabila terbit matahari. Engkau mendamaikan dua orang (yang berselisih) itu adalah sedekah, menolong orang berkenaan dengan tunggangannya (kenderaannya), engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya keatas tungganganya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah kaki untuk solat itu adalah sedekah serta menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan itu adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kedua : Orang-orang yang mampu menahan perasaan marahnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A’raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : “Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Ketiga : Orang-orang suka memaafkan kesalahan orang lain.

Salah satu di antara ajaran Islam yang sangat agung adalah ajaran untuk saling memaafkan. Memafkan berarti orang lain yang yang mempunyai kesalahan kemudian kita memberi maaf. Sementara kalau kita yang mempunyai kesalahan maka wajib bagi kita untuk meminta maaf.

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Musa bin Imran a.s, berkata: “Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? “Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Memafkan sesaorang yang kita tidak mampu membalasnya adalah baik dan sedikit wajar, kerana kedudukan kita pada saat itu lemah. Sementara memaafkan seseorang yang kita mampu untuk membalasnya adalah lebih baik dan lebih mulia karena pada saat itu kedudukan kita kuat dan boleh melakukan apa saja. Ketika seseorang berusaha untuk menjadi pemaaf berarti ia telah berusaha untuk meniru sifat Allah S.W.T. iaitu Al-‘Afuwwu yang Maha Pemaaf. Sesaorang yang memaafkan orang lain adalah orang yang cuba menghilangkan luka hatinya akibat kesalahan yang di lakukan orang lain terhadapnya.

Sifat pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu muslim.
Keempat : Orang yang sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT apabila melakukan kesalahan dan dosa.

Setiap manusia ada melakukan kesalahan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang bersalah adalah minta ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri bersifat maksum dan telah di ampunkan dosa baginda yang dahulu dan akan datang oleh Allah SWT tetap beristigfar 100 kali sehari. Sepatutnya kita lebih dari itu kerana betapa banyaknya dosa dan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan terhadapNya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali” (Hadis Riwayat Muslim).

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, ” Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Bukti penyesalan ialah mengaku dosa dan tidak lari dari tanggungjawab untuk menerima akibatnya. Seterusnya, meminta maaf kepada manusia yang dizalimi dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Demikianlah, yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Hawa setelah memakan buah terlarang. Keduanya berkata : “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-A’raf ayat 23)

Diikuti Nabi Nuh a.s. yang memohon keampunan kerana hasrat untuk syafaatkan anaknya ditolak Allah SWT. Nabi Nuh a.s. berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dan memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Jika sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Huud ayat 47).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama kembali kepada Allah SWT dan sentiasa memohon ampun kepada-Nya setiap masa dan ketika kerana sebagai manusia kita sering melakukan dosa dan kesalahan samaada kita ketahui atau tidak. Hayatilah empat sifat orang yang bertakwa seperti di atas iaitu suka bersedekah, dapat mengawal perasaan marah, mudah memaafkan kesalahan orang lain dan sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT
Lets Go to front. Powered by Blogger.